Proton Holdings catat keuntungan RM285 juta

Posted by abu nu'man under
PERMINTAAN menggalakkan terhadap model Saga, Persona dan Exora serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti, telah meletakkan semula Proton Holdings Bhd dalam kedudukan kewangan yang kukuh.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, pengeluar kereta nasional itu meraih keuntungan sebelum cukai RM285 juta, peningkatan kira-kira 150 peratus berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM319 juta yang dialaminya dalam tahun kewangan sebelumnya. Ini diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM8.23 bilion, peningkatan 27 peratus daripada RM6.49 bilion.


Mengumumkan keputusan kewangan itu, Pengerusinya, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata prestasi lebih baik yang dicatatkan itu adalah disebabkan jualan menggalakkan bagi tiga model utama Proton iaitu Saga, Persona dan Exora.

Di samping itu, katanya ia juga disokong beberapa inisiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan pengeluar kereta nasional itu sejak beberapa tahun lalu, termasuk meningkatkan portfolio produk, memberikan lebih perhatian kepada pengurusan kos serta memastikan kecekapan pengeluaran.


Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2010, Proton meraih keuntungan sebelum cukai RM37.03 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM373.56 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatannya dalam tempoh itu meningkat kepada RM2.263 bilion daripada RM1.4 bilion.
Sementara itu Syed Zainal Abidin berkata, situasi ekonomi tempatan yang bertambah baik akan memberikan manfaat kepada Proton, yang dijangka memperkenalkan satu lagi model baru pada Oktober atau November tahun ini.

Beliau berkata, dengan jualan kereta di pasaran tempatan dijangka terus mengalami peningkatan, Proton optimistik model baru itu akan menyumbang kepada usaha syarikat itu meningkatkan lagi penguasaan pasarannya.

0 comments: