JPJ: Lewat bayar saman kena penalti

Posted by abu nu'man under
Pesalah jalan raya yang lewat membayar saman bakal dikenakan penalti selain tiada diskaun terhadap saman dikenakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.
Beliau berkata kadar penalti yang akan dikenakan itu akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada jemaah menteri.

“Kita telah sediakan kertas kerja mengenai konsep baru ini dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk kelulusan dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 585 anggota dan pegawai JPJ dari seluruh negara menerima Anugerah Perkhimatan Cemerlang 2009.

Solah berkata melalui konsep baru itu, lagi lama seseorang pesalah jalan raya menangguhkan pembayaran saman maka lagi banyak jumlah penalti akan dikenakan.

“Biasanya orang yang kena saman mengambil masa untuk selesaikan saman... kadang kala mereka menunggu adanya tawaran diskaun,” katanya. Beliau berkata konsep baru itu diperkenalkan berikutan nilai tunggakan bayaran saman kira-kira RM16.9 juta bagi tempoh 2000 hingga 2008.

0 comments: