KUALA LUMPUR, 5 April — Umur persaraan wajib kakitangan awam yang kini 58 tahun kemungkinan dilanjutkan dua tahun lagi jika menerima persetujuan kedua-dua pihak kerajaan dan kesatuan sekerja.
Jika adanya keputusan itu bermakna kerajaan pusat mengkaji semula soal itu buat kali ketiga dalam lima tahun lalu.
Difahamkan kerajaan sedang menghalusi perkara ini atas pertimbangan kewangan dan sosial termasuk melanjutkan peluang pekerjaan kepada kakitangan awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam sudah memulakan perbincangan ke arah itu awal tahun ini.
Kedua-dua pihak dijangka menyentuh isu yang sama pada pertemuan susulan mereka di Putrajaya, hari ini.
Saiz kakitangan awam di Malaysia adalah seramai 1.2 juta orang dengan hampir 40 peratus merupakan kaum pendidik.
“JPA dan Cuepacs sudah memulakan perbincangan menyentuh cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
“Dan, sudah ada bayangan untuk dilanjutkan umur bersara wajib di pihak kerajan tetapi belum ada kata putus muktamad. Kami berharap akan ada perkembangan positif dalam pertemuan kali ini (hari ini),” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Cuepacs dikatakan tiada masalah jika umur persaraan sekarang dikaji semula.
Malah Cuepacs sendiri pernah mengemukakan memorandum agar umur persaraan dinaikkan menjadi 60 tahun sebagaimana diamalkan di beberapa negara asing.
Kerajaan menaikkan umur persaraan wajib ke paras semasa mulai Julai 2008.
Sumber juga memberitahu kerajaan kemungkinan bersetuju dengan idea dinaikkan had umur persaraan kerana ia boleh menjimatkan pembayaran wang gratuiti.
“Dari sudut itu saya yakin akan ada lampu hijau daripada kerajaan agar umur persaraan dikaji dan dinaikkan,” katanya
Baru-baru ini JPA mengeluarkan arahan bahawa mereka yang memutuskan untuk bersara secara pilihan tidak akan dibayar wang gratiuti sepenuhnya.
0 comments: