Takziah buat keluarga Achik Spin

Posted by abu nu'man under
SEREMBAN, 18 April — Jenazah vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini, kira-kira 1 petang ini.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Achik, 27, dituntut oleh ahli keluarga di bilik mayat Hospital Tuanku Ja”afar (HTJ) di sini setelah selesai bedah siasat.
Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan di sini kira-kira pukul 11.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.
Jenazah disembahyangkan di surau Taman Bukti, berhampiran Taman Desa Ros dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12 tengah hari.
Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah mertua Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.
Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hattan, Siti Nordiana atau Nana, Tomok dan Lan Kristal.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari yang popular dengan lagu “Janji Kita” terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, terbabas lalu terbakar dan meletup di KM 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang semalam.

0 comments: