KUALA LUMPUR, 6 April — Sudah sampai masa bagi kerajaan mengkaji semula konsesi tol lebuh raya dan ulititi, yang kenaikan tarif secara berkala membebankan, bagi mengelakkan peningkatan kos hidup secara berterusan selaras dengan matlamat Model Ekonomi Baru (MEB), kata seorang pakar ekonomi.
Azrul Azwar Ahmad Tajudin, ketua pakar ekonomi dari Bank Islam memberitahu, pihak berkuasa perlu melihat secara mendalam bagi mengkaji semula kandungan konsesi pengurusan lebuh raya dan pengeluar tenaga bebas (IPP) — dua kemudahan yang didakwa membebankan pengguna secara langsung.
Selain itu, beliau juga mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan gaji minimum, yang dipercayai boleh meningkatkan kadar pendapatan rakyat jelata selain boleh menarik pekerja-pekerja tempatan manakala permintaan pekerja asing dapat dikurangkan.
Kedua-dua syor itu, menurut beliau boleh menaikkan paras pendapatan sebenar seseorang pekerja selaras dengan matlamat MEB mahu menaikkan pendapatan rakyat negara kepada AS$15,000 (RM48,500) menjelang 2020.
Kira-kira 80 peratus tenaga kerja negara ini hanya berkelayakan sijil sekolah, di mana meletakkan mereka sebagai pekerja berpendapatan rendah.
“Oleh itu saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula konsesi-konsesi lebuh raya dan IPP supaya rakyat tidak dibebankan dengan kenaikan berkala, setiap dua atau tiga tahun sekali.
“Apabila ada kenaikan, pengguna akan rasa peningkatan kos hidup dan mereka akan sangat berhati-hati untuk berbelanja,” kata Azrul Azwar lagi.
Tuntutan agar kerajaan mengkaji semula kandungan perjanjian konsesi bukan sesuatu yang baru kerana ia dikemukakan dari semasa ke semasa sejak lebih sedekad lalu.
Kerajaan terpaksa melayan permohonan kenaikan tol setiap tahun, walaupun ada yang dibuat setiap tiga tahun, syarat yang dibolehken dalam konsesi dengan 17 syarikat.
Mengikut perjanjian konsesi, pelarasan kadar tol dilakukan setiap tahun berdasarkan peratusan kenaikan dipersetujui dan kerajaan bertanggungjawab membayar perbezaan peningkatan itu sekiranya tiada kenaikan tol pada tahun tertentu dalam bentuk pampasan.
Akhir bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata peringkat pertama kajian penstrukturan semula kadar tol lebuh raya telah selesai dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan serta syarikat konsesi lebuh raya berhubung perkara itu.
Kata Nor Mohamed, kerajaan sedang mencari kaedah terbaik bagi memastikan penstrukturan semula kadar tol itu tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
Azrul Azwar memberikan pandangan itu susulan pembentangan laporan pertama MEB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Selasa lalu — yang dilihat sebagai asas kepada pembaharuan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
 

0 comments: