Proton tawar kereta mewah mampu milik

Posted by abu nu'man under
KUALA LUMPUR 29 Mac - Andaikata perbincangan antara Proton Holdings Bhd dan Volkswagen untuk mewujudkan kilang komponen terurai sepenuhnya (CKD) di sini menjadi kenyataan, bukan sahaja Skoda, malah kereta mewah Audi lain boleh diperoleh pada harga yang mampu dimiliki, kata OSK Research.
Minggu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mengesahkan syarikat kini sedang mengadakan perbincangan dengan pembuat automotif Jerman.
"Kemungkinan terjalinnya kerjasama berpotensi ini dijangka diumumkan menjelang separuh pertama tahun ini.
"Jika ia dimuktamadkan pada 2011, kilang berkenaan akan mengeluarkan kenderaan sedan Volkswagen untuk pasaran domestik dan eksport, sebahagian besar untuk rantau ASEAN," kata syarikat penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menambah jika Volkswagen mewujudkan pusatnya di sini, pelaburan permulaan ialah kurang daripada AS$200 juta (RM660 juta).
"Tahun lepas, syarikat memeterai niaga janji bersama dengan IndoMobil untuk membina sebuah kilang pemasangan CKD di Jakarta Timur, Indonesia, untuk menghasilkan rangkaian MPVnya dengan pelaburan permulaan AS$140 juta (RM462 juta).
"Dengan kilang CKDnya yang dicadangkan dibina di Malaysia dan maklum pula adanya kilang pengeluaran MPV di Indonesia, kami melihat kemudahan tempatan ini akan memberi tumpuan kepada pengeluaran segmen Sedan," kata kenyataan itu.
OSK turut berpendapat yang kilang Shah Alam Proton kemungkinan adalah calon untuk kemudahan CKD itu kerana ia telahpun dikenali kerana mempunyai infrastruktur terbaik.
Sebelum ini, Volkswagen telah menunjukkan minat dalam infrastruktur pengeluaran Proton, untuk mewujudkan hab CKD bagi memenuhi pasaran Asia.
Dalam perkembangan berkaitan, aliran menaik harga saham DRB-Hicom Bhd pula kian galak sejak kebelakangan ini, didorong oleh spekulasi yang kemungkinan syarikat itu akan memperolehi niaga janji CKD dengan Volkswagen dan bukannya Proton, kata OSK Research.
"Dengan adanya Proton dan DRB dalam gambaran, sukar untuk kita lihat kilang yang mana akan dipilih oleh Volkswagen," tambah kenyataan itu.




0 comments: