Jangan guna telefon bimbit ketika memandu, nasihat JKJR

Posted by KHAT KUFI on CANVAS under
SHAH ALAM, 23 Mac — Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia hari ini menasihatkan pemandu agar tidak menggunakan telefon bimbit walaupun dengan alat bebas tangan.
Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata penggunaan telefon bimbit walaupun menggunakan alat bebas tangan tetap mengganggu tumpuan pemanduan serta berisiko mengancam nyawa.
Beliau berkata kajian yang dilakukan dua tahun lepas di beberapa negara seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun mendapati tumpuan pemandu yang bercakap menggunakan alat bebas tangan adalah sama seperti pemandu mabuk.
“Saya menasihati dan amat berharap agar semua pemandu mempunyai kesedaran terhadap kajian ini kerana ia akan membantu mengelak daripada kemungkinan berlakunya kemalangan yang boleh meragut nyawa.
“Saya cadang supaya tukarkan telefon bimbit anda ke ‘silent mode’ (senyap) sebelum mulakan pemanduan supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberi ketika memandu dan menjamin keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemusnahan Topi Keledar Tanpa Piawaian di Plaza Tol Batu 3 di sini.
Suret berkata sebagai permulaan bagi membudayakan amalan itu kepada pemandu di negara ini, JKJR telah mengeluarkan arahan kepada semua kakitangannya supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu walaupun dengan alat bebas tangan.
Ditanya sama ada beliau akan mencadangkan penguatkuasaan larangan penggunaan telefon bimbit dengan alat bebas tangan ketika memandu kepada kerajaan, Suret berkata sebagai permulaan JKJR akan mengadakan kempen kesedaran kepada pemandu.

0 comments: