KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya dipersalahkan mengenai kadar tarif yang tinggi berhubung kenderaan yang diimport kerana banyak faktor lain yang mempengaruhi harga.



Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Jacob Dungau Sagam berkata demikian di sidang Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen DAP-Bandar Kuching Chong Chieng Jen.


Beliau menjelaskan bahawa pengurangan atau penghapusan kadar tarif tidak menjamin harga kereta menjadi lebih murah.

"Kadar tetap dan duti eksais untuk semua jenis kenderaan buat masa ini dikekalkan supaya hasil negara tidak terjejas.

"Di samping itu, pengurangan atau pembasmian duti import tidak semestinya menyebabkan harga kenderaan menurun kerana harganya ditentukan oleh pengeluar dan syarikat berdasarkan kuasa pasaran," jelas beliau.

Chong, yang tidak yakin dengan jawapan itu, berkata kereta-kereta import yang dijual di negara-negara jiran seperti Thailand dan China adalah jauh lebih rendah berbanding di Malaysia.

"Sebagai contoh, kita banding kereta Toyota Vios dijual di Malaysia di antara RM70,000 hingga RM90,000.


Di Thailand, kereta itu dijual dengan harga di antara RM50,000 hingga RM70,000. Di negeri China, ia dijual dengan harga di antara RM45,000 hingga RM60,000.


Begitu juga dengan kereta Honda City, di Malaysia, dijual dengan harga kira-kira RM90,000 tapi di China dijual dengan harga RM50,000," katanya.


Beliau juga menekankan bahawa kereta buatan tempatan dijual dengan harga yang lebih mahal di pasaran tempatan.


Di China, kereta berkuasa kuda 1,000 cc seperti Cherry (buatan tempatan) dijual dengan hanya RM19,000 hingga RM30,000. Tetapi di Malaysia, Perodua Viva dijual dengan harga RM38,000," katanya.

0 comments: