Persona-R jadi tambatan Proton

Posted by abu nu'man under
SHAH ALAM 16 Dis. - Proton Holdings Bhd. (Proton) merancang memperkenalkan kereta model baharu Persona-R dalam tempoh dua tahun lagi untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran industri automotif tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pengeluaran model itu akan dilaksana berdasarkan salah satu model yang dipamerkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010, baru-baru ini.

Katanya, model Persona-R dijangka memberi tumpuan pada kuasa enjin selain mengambil kira kos bahan api serta pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2).

"Setakat ini, kerja-kerja pengeluaran sedang dijalankan. Model generasi baharu Proton yang bakal dikeluarkan adalah berasaskan pasaran global dan bukan lagi pasaran tempatan," katanya sambil menyatakan pengeluaran Persona-R dilakukan tanpa melibatkan kerjasama dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC).

Kata Syed Zainal Abidin, selain model baharu, Proton juga mengeluarkan enjin Campro versi Turbo mulai tahun depan untuk menambah baik enjin yang sedia ada dalam memastikan penjimatan bahan api dan pelepasan sisa karbon.

Beliau berkata, Proton turut merancang mengeluarkan enjin generasi baharu bagi model kenderaan keluaran syarikat itu pada masa depan.

Bagaimanapun kata beliau, setakat ini tiada keputusan dibuat sama ada pengeluaran enjin generasi baharu itu akan melibatkan usahasama dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) global.

"Saya fikir tiada sebab untuk kita mengeluarkan sendiri jika berpeluang untuk mengadakan usahasama. Kami sedang berbincang dengan beberapa OEM mengenai usaha sama pembinaan enjin ini. Sebarang keputusan, kita akan umumkan nanti," ujarnya.

Terdahulu, Syed Zainal Abidin menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat vendor Proton, AutoV Corporation Bhd. (AutoV) dengan ArvinMeritor LVS Co. Ltd (ArvinMeritor) dan Continental Automotive Systems (Shanghai) Co. Ltd. (CAS) di sini hari ini.

MoU melibatkan pengeluaran komponen automotif itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif AutoV, Bernard Kong manakala ArvinMeritor dan CAS masing-masing diwakili Pengarah Jualannya, Lansing Lin dan Naib Presidennya, Werner Koestler.

0 comments: