PROTON USAHASAMA DENGAN UTM

Posted by abu nu'man under
Proton Holdings Bhd. (Proton) menjangka produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun ini akan mula dikomersialkan pada separuh kedua tahun depan.


Produk-produk itu termasuk panel suria kenderaan dan sistem yang mampu mengurangkan suhu dalam kenderaan keluaran Proton.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama itu adalah untuk tempoh empat tahun sejajar dengan usaha Proton membangunkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pelaksanaan Model Baru Ekonomi yang berlandaskan teknologi, inovasi dan kreativiti.

Katanya, melalui program tersebut, UTM akan menghantar 18 profesor penyelidik untuk menjalankan penyelidikan di Proton dalam tempoh empat tahun tersebut.

"Kerjasama ini dibentuk bagi memantapkan dan memperluaskan lagi rekaan-rekaan yang terdapat pada model-model Proton.

"Apa yang kita mahukan adalah Proton berada di landasan persaingan yang betul dalam industri automotif melalui R&D dengan pihak universiti,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Proton dengan UTM di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk. Ir. Dr. Zaini Ujang.

Proton memperuntukkan RM500,000 bagi tahun pertama untuk program R&D itu manakala UTM pula menyediakan RM1 juta sebagai modal permulaan.

Sementara itu, Zaini berkata, UTM menyasarkan untuk menyiapkan 40 paten R&D bersama-sama pada sepanjang tempoh kerjasama itu dengan menumpukan kepada aspek teknologi hijau.

"Selain pelaburan permulaan itu, UTM juga merancang untuk mendapatkan dana-dana lain daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta beberapa lagi,'' kata beliau.

0 comments: